Ikan hiasan telah dicatatkan sebagai industri yang paling pesat
perkembangannya dalam sektor pertanian dan ia merupakan industri
berorientasikan eksport dimana 95 peratus pengeluaran negara untuk
eksport.Walaupun bersaiz kecil dengan pengeluaran domestik bernilai RM80
juta pada harga ladang, ia mempunyai profail antarabangsa. Malaysia
merupakan pembekal dunia ketiga penting selepas Singapura dan Indonesia
dengan pegangan 7 peratus dari eksport dunia pada tahun 2000.
Di pasaran dunia, eksport negara mengalami pertumbuhan purata 24 peratus
setahun dalam nilai USD bagi tempoh 1990 - 2000. Semasa tempoh kemuncak
perkembangan permintaan dunia iaitu dari 1990 - 1996, eksport negara
mencatatkan pertumbuhan pesat 48 peratus setahun sebelum tumbuh perlahan
pada kadar purata 4 peratus setahun bagi tempoh 1996 - 2000. Pencapaian
ini masih memberansangkan kerana bagi tempoh tersebut, eksport dunia
menguncup pada kadar -5 peratus setahun. Pesaing-pesaing negara seperti
Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat juga mengalami penguncupan eksport
pada kadar -8 peratus, -8 peratus dan -14 peratus masing-masingnya.
Walaubagaimanapun, Indonesia dan Czech Republic tumbuh pada kadar 25
peratus dan 3 peratus setahun masing-masing dan merupakan pesaing
terdekat negara.
Dalam nilai Ringgit Malaysia, eksport ikan
hiasan tumbuh pada kadar 35 peratus setahun dengan nilai eksport RM54
juta pada tahun 2001, tertinggi di dalam sektor pertanian dan eksport
negara. Malaysia masih bergantung kepada Singapura sebagai pasaran
kerana kemudahan logistik yang cekap, banyak dan murah. Pengeksportan
terus adalah ke negara-negara Jepun, Hong Kong, United Kingdom, Itali
dan Amerika Syarikat.
Kebanyakan ikan tropika yang popular ada
terdapat di negara ini dan mendapat tempat di pasaran antarabangsa.
Dalam tempoh 10 tahun, industri ini telah mencatatkan pertumbuhan
tahunan 43 peratus pada harga ladang dengan peningkatan nilai dari RM15
juta pada tahun 1990 ke RM80 juta pada tahun 2000.
Permintaan
dunia adalah tertumpu kepada negara-negara EU (43%), Amerika (24%) dan
Jepun (13%). Import dunia ikan hiasan pada tahun 2000 dianggarkan
bernilai USD250.9 juta, iaitu peningkatan lebih dari 3.5 peratus dari
tahun 1999 (USD242.4 juta). Ini merupakan titik pemulihan permintaan
setelah dunia mengalami kejatuhan semasa krisis ekonomi dunia bermula
tahun 1997. Sedikit sebanyak peristiwa September 11 menyumbang kepada
pemulihan ini.
Masa depan industri ini adalah cerah. Permintaan
dunia dijangka akan terus meningkat walaupun lebih perlahan pada kadar
2.5 - 4 peratus setahun. Import dunia pada tahun 2003 diramalkan
bernilai USD281 juta, meningkat kepada USD303 juta pada tahun 2005.
Sejajar dengan itu, eksport negara juga diramal terus meningkat kepada
RM60 juta pada tahun 2003, RM73 juta pada tahun 2005 dan RM117 juta pada
tahun 2010. Sumbangan ini akan meningkatkan syer pasaran negara dari 7
peratus sekarang kepada 9 peratus pada tahun 2003 dan 15 peratus pada
tahun 2010. Pasaran domestik juga dijangka akan meningkat kepada RM8
juta pada tahun 2003 dan RM10 juta bagi tahun 2005. Bagi mempastikan
sasaran ini di capai, beberapa strategi dan langkah-langkah perlu
diambil segera lebih-lebih lagi dengan munculnya pengeluar-pengeluar
utama yang baru seperti negara Thailand, China dan Taiwan.Terdapat 3
faktor penting kejayaan industri ini iaitu logistik, produk dan
pemasaran. Malaysia perlu meningkatkan R&D untuk menjadi pengeluar
ikan berkualiti tinggi di samping merangka skim insentif yang lebih
menarik untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam industri ini. Isu
kecekapan, kekerapan dan kos kargo perlu diatasi dengan penuh komitmen,
perancangan dan perlaksanaan program pemasaran dan pengeluaran yang
bersepadu di antara kerajaan dan industri adalah perlu bagi mewujudkan
sinergi kearah mencapai matlamat tersebut. Pembangunan sumber manusia
yang berkesan dan sistem maklumat yang cekap dan berkesan adalah tonggak
kepada kejayaan. Secara keseluruhannya, industri ini telah menunjukkan
potensi yang tinggi untuk dibangunkan secara lebih serius.Keadaan
pasaran dunia yang konsisten juga boleh membantu industri ini untuk
berkembang dengan lebih pesat.Budidaya Ikan Hias
0 komentar Budidaya Ikan Hias
Posting Komentar